Rabu, 3 Mac 2010

Masjid Putra



PENGENALAN

Masjid Putra yang dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj merupakan salah satu mercu tanda utama Putrajaya. Kedudukannya adalah bersebelahan dengan Dataran Putra dan berhadapan dengan Tasik Putrajaya. Dari masjid ini boleh dapat dilihat dengan jelas keindahan tasik dan kawasan sekitarnya. Sebahagian besar kawasan masjid dikelilingi oleh tasik Putrajaya. Ini menjadikan Masjid Putra kelihatan terapung-apung di permukaan tasik. Selain dari itu ianya juga membolehkan udara segar dari tasik bertiup masuk untuk menyejukkan kawasan masjid. Jambatan Putra dan Kompleks Perdana Menteri juga boleh dilihat dengan jelas dari masjid ini.

KONSEP REKABENTUK

Pada keseluruhannya, konsep rekabentuk Masjid Putra adalah berdasarkan senibina Parsi zaman kerajaan Safawe. Senibina tradisional digunakan bagi mengharmonikan perubahan bentuk segiempat (Dewan Solat) kepada bentuk bulat (kubah) dengan mempekenalkan segilapan (oktagon) sebagai bentuk perantaraan.

IDENTITTI TERSENDIRI

ARAS BAWAH DUA : menampilkan imej pertahanan yang kuat dimana bahagian bawahnya dihias dengan dinding dan benteng yang didirikan disekeliling aras ini untuk memberi gambaran keteguhan.

ARAS BAWAH : menggambarkan konsep terbuka dimana tiang berbentuk payung dan ukiran yang direka (masyrabiah) dapat memberi perlindungan
daripada hujan dan panas serta membolehkan pengudaraan semulajadi. Konsep Masjid Putra yang terbuka ini juga membolehkan kesinambungan antara saf dalam dan saf luar.

ARAS SATU DAN BUMBUNG : mengandungi 8 buah kubah kecil yang membentk 4 penjuru dewan solat utama. Disekeliling aras tersebut, konsep terbuka jelas kelihatan dengan adanya tingkat-tingkat besar
yang dihiasi dengan masyrabiah.

16 TUDUNG KONKRIT : mengelilingi aras yang mana bermulanya kubah Puncak kubah ini dihiasi dengan mercu tajam yang menghala ke langit.

STRUKTUR BINAAN

MENARA
Terdapat juga sebuah menara yang berdiri megah setinggi 116 meter di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Putra. Menara berbentuk bintang lapan penjuru ini jelas memperlihatkan keunggulan senibina dan senireka Islam. Terdapat lima tingkat pembahagi pada menara ini untuk melambangkan lima rukun Islam dan juga sembahyang lima waktu.

KUBAH UTAMA
Kubah Masjid Putra berwarna merah jambu. Rekabentuknya berasaskan arabesque iaitu ukiran tumbuhan sepertimana yang diukir pada kubah-kubah masjid di Mesir. Ukiran dan hiasan dalaman kubah dan masjid keseluruhannya diilhamkan dari seni ukiran tradisional orang Melayu.
Kayu cengal dan seraya hitam digunakan untuk menghidupkan seni ukir di dalam masjid.

PANDUAN

ARAS BAWAH DUA : Aras ini menjadi penghubung utama kepada sesiaran (promenade) yang merupakan rangkaian jalan untuk pejalan kaki mengelilingi tasik buatan manusia. Di atas aras ini juga terdapat pelantar untuk menghayati tasik dan persekitarnnya yang indah terserlah. Pelantar ini juga digunakan untuk penyelenggaraan bangunan masjid.

ARAS BAWAH SATU : Aras ini menempatkan pelbagai kemudahan iaitu sebuah auditorium yang boleh memuatkan seramai 450 orang, dewan makan untuk 400 orang dan sebuah ruang legar/pameran. Aras ini juga menempatkan pejabat utama Masjid Putra, tiga buah bilik kuliah yang boleh menampung 100 orang setiap satu, bilik pengurusan jenazah dan rumah kakitangan serta tempat wuduk dan bilik air.

ARAS BAWAH : Aras ini merupkan aras terpenting Masjid Putra di mana terletaknya dewan solat utama yang boleh menampung jemaah seramai 8000 orang. Pintu masuk utama terletak di aras ini yang rekabentuknya berdasarkan struktur di Isfahan. Sebuah laman terbuka (sahn) terbentang luas di antara ruang solat utama dengan pintu masuk utama ini. Laman terbuka ini merupakan tapak bagi menara setinggi 116 meter dan dihiasi kolam-kolam
air dan pepohon. Laman terbuka serta pelantar sekeliing aras ini boleh menampung seramai 5000 jemaah lagi.

ARAS SATU : Di aras ini terletak dewan solat utama wanita yang boleh menampung 2000 jemaah.

Keempat-empat aras di atas dihubungkan oleh rangkaian tangga yang bermula dari tempat wuduk utama serta dua buah lif di kiri dan kanan pintu dewan solat utama.

Masjid Negara



Lokasi

Terletak di kawasan strategik Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Masjid Negara terletak bersebelahan Stesen Keretapi Malaysia, Bangunan Daya Bumi, Pos Besar Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Taman Burung Kuala Lumpur dan berdekatan Taman Tasik Perdana. Kawasan Masjid Negara seluas 13 ekar dan bangunan utamanya memenuhi lebih kurang 3 ekar. Seluruh kawasan masjid di kelilingi sebahagiannya oleh tembok konkrit dan sebahagiannya lagi oleh pagar berhias. Semuanya terdapat tujuh buah pintu masuk.Kemudahan untuk pelancong bukan islam juga disediakan seperti tandas awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terletak berdekatan pintu masuk khusus pelancong luar dan dalam negara.
Sebelum terbinanya Masjid Shah Alam, Masjid Negara merupakan salah sebuah masjid yang paling moden di Asia Tenggara. Ia terletak di kawasan seluas 13 ekar, bertentangan pula dengan Perhentian Keretapi Kuala Lumpur. Pembinaan Masjid Negara ini melambangkan semangat perpaduan dan toleransi.

Seni bina

Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh pasukan 3 orang arkitek dari Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan - arkitek Hisham Albakri, Howard Ashley (UK), and Dato Baharuddin Kassim. Mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya. Sebelum memulakan kerja merekabentuk Masjid Negara ini, arkitek utamanya, Baharuddin Abu Kassim mengkaji masjid-masjid di India, Pakistan, Iran, Turki, Arab Saudi, Republik Arab Bersatu dan Sepanyol.
Sekali pandang, menaranya berukuran 73 meter (245 kaki) tinggi kelihatan seperti sebuah roket. Bentuknya seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbung konkritnya berbentuk bintang 18 bucu kelihatan seperti sekaki payung yang kembang. Bentuk menara dan bumbung beropol yang ada pada Masjid Negara melambangkan kesetiaan. Konsep ini dipadankan kepada rupa payung Diraja. Menara ini berbentuk gambar payung yang terkuncup manakala bumbungnya berupa seperti sebuah payung yang terbuka.
Bentuk berlipat atap konkrit utama merupakan penyelesaian kreatif bagi mencapai ruang yang besar bagi dewan sembahyang. Bangunan berharga RM10 juta ini meliputi kawasan seluas lima ekar. Ia mengandungi sebuah dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan, permakaman, perpustakaan, pejabat, halaman, menara, bilik diraja dan sebuah bilik imam. Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di bahagian barat. Turut disediakan ialah bilik radio dan televisyen berhawa dingin yang terletak di galeri dewan sembahyang.
Rekabentuknya selaras dengan rekabentuk bangunan zaman moden tetapi senibina Islam masih dikekalkan. Rupa bentuk masjid ini terhasil dari campuran corak keislaman dan moden serta bersulamkan senibina tempatan.
Bentuk ukiran jerjak besi yang mengelilingi bangunan ini dan dom-dom kecil yang berada di sebelah atas beranda adalah berasaskan rekabentuk Sarasin, tetapi ia disesuaikan dengan rekaan moden.

Menara
Di tengah-tengah kolam di Masjid Negara ini berdiri tegak sebuah menara masjid. Ia digunakan untuk mengumandang azan setiap kali waktu sembahyang.Tingginya ialah 235 kaki daripada lantai ke hujung lambang bulan bintang.
Dalam bangunan menara ini disediakan sebuah lif untuk naik ke pentas menara. Pentas ini tingginya 140 kaki daripada tanah. Ada juga sebuah anak tangga berpilin disediakan di sebelah lif itu. Dua dinding menara yang saling bersetentangan masing-masing bertampal dengan papak batu kapur dan terazzo dan dua dinding yang masing-masing bersetentangan itu lagi berhias dengan kekisi terazzo.
Puncak menara itu dikemaskan dengan mosaic gelas putih. Gerabak lif disediakan dalam menara. Gerabak lif ada tingkap kaca untuk membolehkan penumpang dalam lif itu melihat bandar Kuala Lumpur. Menara itu diterangi oleh lampu berjalur, menjadikannya kelihatan menarik sekali pada waktu malam.
Terdapat tiga buah pintu besar dan sebuah pintu khas bagi kegunaan diraja. Di tingkat bawah ruang depan terdapat beberapa buah bilik untuk berwuduk, bilik mandi, tempat menyimpan kasut dan bilik berehat bagi mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur. Sebelum sampai ke dewan sembahyang di tingkat pertama terdapat sebuah halaman besar. Di bahagian tengah halaman ini terdapat 48 kaki payung konkrit manakala di rusuknya pula terdapat kolam-kolam beserta beberapa buah pancuran bagi menyejukkan keadaan sekeliling.
Dewan sembahyang itu bertembok konkrit tetulang dan dilekapkan dengan batu marmar Itali. Terdapat sembilan buah pintu lorot aluminium di sepanjang tiga bahagian tembok berkenaan. Beberapa potong ayat al-Quran ditulis melintangi tembok di atas pintu bahagian dalam dewan sembahyang itu. Tulisan berukuran dua kaki tinggi diadun dengan mozek keemasan dan kebiruan yang berkilat. Bumbungnya yang beropol itu menyinarkan cahaya merah mawar, disulami pula di tengah-tengahnya oleh terawang kekisi terrazzo di sepanjang galeri. Bumbung konkritnya berbentuk payung kembang dan dihiasi dengan mozek kaca dan emas putih.
Bumbung yang berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 buah batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki. Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir dengan ayat al-Quran – seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul,Turki. Dahulu bentuk mihrabnya berbentuk bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat-ayat al-Quran dalam seni khat Morocco. Muka tembok yang mengelilingi mihrab ini diubah suai mengikut seni bina Morocco. Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar yang berbentuk seperti beranda ini dibina daripada kayu.
Menganjung dari keempat-empat bahagian tembok itu pula terletak sebuah galeri untuk kaum wanita dan para pelawat yang ingin melihat bahagian dalam dewan sembahyang tersebut. Bahagian dalam galeri itu dihiasi oleh kekisi yang awan laratnya jelas menunjukkan kebudayaan Islam dan menyerupai pula awan larat yang terdapat di Masjid Taj Mahal dan Patehphur Sikri di India. Bahagian luarnya diturap dengan kekisi terrazzo. Kesembilan-sembilan buah pintu dan kekisi galeri membawa cahaya matahari ke dalam dewan sembahyang itu di samping lampu-lampu berhias, lampu-lampu tersembunyi di roset aluminium di bumbung serta 16 buah tepak lampu (chandelier) kurniaan raja-raja, gabenor-gabenor dan bekas Yang Di Pertua Negara Singapura.
Dewan sembahyang itu dapat memuatkan 3,000 jemaah dan berupaya menampung 5,000 orang lagi di beranda yang terdapat di ketiga-tiga rusuk bahagian dewan itu. Beranda itu terlindung dari luar oleh tirai kekisi dari aluminium dengan terawangnya berawan larat Islam asli. Lantainya dibina daripada kepingan terrazo manakala bumbungnya pula dibina daripada konkrit serta mempunyai beberapa kubah kubah kecil yang dibina daripada mozek biru. Di sebelah barat komplek itu terdapat dewan persidangan. Perkara yang menarik ialah bumbung konkritnya yang berombak-ombak. Dewan ini bertiraikan kekisi terrazo di luarnya. Dewan yang berhawa dingin ini dapat memuatkan 500 orang wakil persidangan keagamaan. Di sini juga terdapat sebuah perpustakaan.
Hasrat untuk membina masjid ini timbul sebulan sebelum hari kemerdekaan. Sebuah majlis yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Kerja Persekutuan memutuskan untuk mendirikan sebuah masjid sebagai tanda penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, terhadap jasa-jasanya kepada rakyat. Selepas mencapai kemerdekaan, Majlis Raja-Raja memperkenankan projek tersebut. Bagaimanapun, Tunku tidak mahu masjid dinamakan sempena namanya, tetapi sebaliknya mencadangkan ia dinamakan “Masjid Negara”.
Pada tahun 1987 Masjid Negara diubahsuai dengan menyeluruh, dan atap yang dahulunya kusam kini bergemerlapan dengan jubin hijau dan biru. Hari ini Masjid Negara berdiri megah dan bergaya dikaki langit Kuala Lumpur. Laluan bawah tanah menyambungkan National Mosque dengan Stesyen Kerata Api, sepanjang Jalan Sultan Hishamuddin. Berhampiran dengan masjid terdapat Makam Pahlawan, tempat pengkebumian beberapa ahli politik Malaysia. Makam Pahlawan turut memiliki struktur atap konkrit bintang bucu 7.